BAC 2025: Soon Huat-Shevon Ke Suku Akhir

April 10, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pasangan suami isteri yang menduduki ranking ketiga dunia, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Pengesahan itu hadir selepas Soon Huat-Shevon berhasil melakar kemenangan ke atas beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran pada pusingan 16 hari ini.

Diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan, Soon Huat-Shevon mengambil masa hampir 40 minit di atas gelanggang sebelum menoktahkan pertarungan itu secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-14.

Sebagai rekod, ini merupakan pertarungan keenam melibatkan kedua-dua beregu di pentas antarabangsa. Keputusan pada hari ini menjadikan rekod “head-to-head” antara kedua-duanya seimbang dengan tiga kemenangan masing-masing.

Sementara itu, hasil daripada kemenangan terbabit, Soon Huat-Shevon bakal bertembung dengan pasangan yang menduduki ranking ke-25 dunia dari Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd