
Beregu lelaki No.4 tanah air, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 selepas beraksi dua perlawanan.
Ini selepas gandingan pemain berusia 22 dan 24 tahun masing-masing itu terkandas di pusingan 16 selepas gagal mengatasi cabaran daripada pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024, Liang Wei Keng dan Wang Chang.
Arif-Roy King yang menduduki ranking ke-19 dunia pada ketika ini berhasil mengheret beregu China berkenaan sehingga ke tiga set permainan namun ianya berakhir dengan kekalahan menerusi skor 21-17, 14-21 dan 11-21.
Keputusan itu menjadikan Arif-Roy King tewas buat kali kedua berturut-turut di tangan Wei Keng-Chang selepas tumpas pada peringkat separuh akhir Masters Orleans 2025 pada Mac lalu.
Sementara itu, Wei Keng-Chang yang meraih tiket kemaraan ke peringkat suku akhir akan menantikan cabaran samada daripada beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin atau beregu Korea yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, Kim Won-Ho dan Seo Seung-Jae.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia