BAC 2025: Beregu Muda Indonesia Kekang Soon Huat-Shevon Ke Separuh Akhir

April 11, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kempen Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai, beregu No.3 dunia, di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 menemui titik noktahnya pada hari ini.

Ia susulan gandingan yang juga merupakan pasangan suami isteri itu tewas kepada beregu muda Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu di peringkat suku akhir.

Lebih menakjubkan, gandingan pemain berusia 22 dan 19 tahun masing-masing itu berhasil mencetak kemenangan secara “straight set” ke atas Soon Huat-Shevon menerusi skor 21-15 dan 21-11 dalam masa 38 minit.

Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Jafar-Felisha, penghuni ranking ke-25 dunia, bertemu Soon Huat-Shevon di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, perjalanan Soon Huat-Shevon ke peringkat suku akhir ini merupakan pencapaian yang lebih baik berbanding kempennya pada edisi lalu dimana mereka terkandas seawal peringkat pusingan 32.

Sebagai tambahan, pencapaian terbaik mereka hadir pada BAC 2023 dimana mereka berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum dikekang ke perlawanan akhir oleh Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong dari China.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd