CONMEBOL Cadang Penyertaan 64 Pasukan Di Piala Dunia 2030
Hafiz Omar

Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) secara rasminya mencadangkan saingan Piala Dunia 2030 disertai oleh 64 buah pasukan.
Menurut laporan ESPN, ianya dilontarkan sendiri oleh Presiden CONMEBOL, Alejandro Dominguez agar Piala Dunia yang dilangsungkan bersempena dengan sambutan ulangtahun 100 tahun kejohanan berprestij terbabit dapat diraikan dengan lebih meluas.
Penganjuran Piala Dunia 2030 telah pun mencipta sejarah apabila sebanyak enam negara daripada tiga benua telah dipilih sebagai hos – Sepanyol, Portugal, Maghribi, Argentina, Paraguay dan Uruguay.
Pada edisi berkenaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengumumkan tiga perlawanan pembukaan bakal berlangsung di Argentina, Paraguay dan Uruguay – tuan rumah Piala Dunia edisi pertama pada tahun 1930.
Selain itu, cadangan ini juga membolehkan kesemua negara anggota CONMEBOL meraih tempat dalam kejohanan pada edisi berkenaan. Sebagai rekod, hanya Venezuela sahaja yang merupakan negara anggota CONMEBOL yang belum pernah beraksi di saingan Piala Dunia.
Sekitar awal Mac lalu, cadangan untuk menampilkan 64 buah pasukan di saingan Piala Dunia 2030 telah pun diusulkan oleh wakil Uruguay dalam sesi akhir mesyuarat FIFA.
Bagi Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada & Mexico, FIFA telah pun meluaskan penyertaan daripada 32 buah pasukan kepada 48 buah pasukan.