JDT II Atau Selangor FC Julang Piala MFL 24-25, Bawa Pulang RM500,000?

April 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perebutan kejuaraan Piala MFL musim 2024/25 bakal dinoktahkan apabila dua aksi tumpuan berlangsung serentak malam ini.

Pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bakal berdepan Penang FC II di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) manakala pasukan ditangga kedua iaitu Selangor FC akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC B (KDA B) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). 

Pada ketika ini, JDT II memimpin carta liga dengan 50 mata selepas menempuh keseluruhan 23 perlawanan – hasil merekodkan 15 kemenangan dan 5 keputusan seri. 

Bagaimanapun, mereka hanya memimpin liga dengan perbezaan yang tipis, satu mata berbanding pencabar utama iaitu Selangor FC yang terus mengekori rapat di tangga kedua.

Seandainya JDT II menang ke atas Penang FC II, mereka akan merangkul trofi tanpa mengira keputusan perlawanan Selangor FC. Namun, jika mereka seri atau tewas, Selangor FC masih berpeluang untuk merampas takhta dengan syarat mereka menewaskan KDA B.

Tumpuan utama JDT II pastinya terarah kepada penyerang berbisa, Gabriel Nistelrooy. Pemain kelahiran Sarawak itu telah menjaringkan 22 gol dalam 23 perlawanan, menjadikannya penjaring terbanyak kejohanan. 

Turut menyinar bersama JDT II ialah Danish Syamer Tajuddin, pemain muda dari Piala Presiden yang telah menyumbang 7 gol meskipun lebih kerap dimasukkan sebagai pemain gantian dan tampil dalam 16 perlawanan – 8 daripadanya bermula daripada bangku simpanan.

Sementara itu, Selangor FC pula mengharapkan sentuhan Abdul Rahman Daud yang sudah mencetak 9 gol musim ini. Penyerang ini menjadi tunjang kepada jentera serangan mereka dalam 23 perlawanan walaupun 6 daripadanya diturunkan sebagai pemain simpanan.

Skuad Gergasi Merah turut memiliki pembabitan adik-beradik, Haykal Danish dan Harry Danish, sebagai aset utama, dimana Haykal telah menjaringkan 6 gol daripada 19 perlawanan sementara Harry pula menyumbang 5 gol dalam keseluruhan 21 perlawanan. 

Di benteng terakhir, Azim Al Amin Kamaruddin menjadi pilihan utama penjaga gol Selangor FC dengan 18 penampilan setakat ini. 

Pertarungan terakhir pada malam ini pastinya menyuntik drama yang mendebarkan buat para peminat dan penyokong kedua-dua pasukan. Untuk makluman, selain meraih gelaran juara, pemenang pada malam ini turun membawa pulang ganjaran wang tunai sebanyak RM500,000.

Sebagai tambahan, perlawanan-perlawanan pada malam ini juga menjadi aksi terakhir bagi saingan ini sebelum ianya dimansuhkan pada musim 2025-2026 kelak.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd