Mykolas Alekna Cipta Rekod Lempar Cakera Lebih 75 Meter
April 14, 2025 Hafizuddin Omar

Atlet lempar cakera Lithuania yang berusia 22 tahun, Mykolas Alekna mencipta satu lagi rekod baharu dalam arena olahraga selepas merekodkan lemparan sejauh 74.35 meter (m) – rekod dunia – pada tahun lalu.

Ketika turun beraksi di Oklahoma Throws Series World Invitational, sebuah kejohanan Jelajah Benua Gangsa World Athletics di Ramona, pada Ahad, Alekna melakukan lemparan sejauh 75.56m pada percubaan keempatnya.

Lemparan itu bukan sahaja memperbaharui rekod dunianya sendiri bahkan muncul selaku atlet lempar cakera pertama dalam sejarah yang merekodkan lemparan melebihi 75m.

Bagaimanapun, rekod dunia yang dinyatakan ini tertakhluk kepada prosedur ratifikasi sebelum disahkan secara rasmi.

Sebelum itu, ketika melakukan lemparan pertama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 ini telah merekodkan lemparan sejauh 74.89m, meleburkan rekod dunianya sendiri yang dihasilkan di venue yang sama pada tahun lalu.

Sudah tentu dengan lemparan terbaik tersebut Alekna berhasil muncul juara di kejohanan terbabit pada  tahun ini. 

Untuk makluman, atlet Australia meraih tempat kedua dengan lemparan sejauh 74.78m dan tempat ketiga pula digondol oleh atlet Amerika Syarikat, Sam Mattis – lemparan sejauh 71.27m.

Sebagai rekod, ketika merekodkan lemparan sejauh 74.35m pada tahun lalu, ianya telah menggegarkan arena olahraga dunia kerana telah meleburkan rekod yang dihasilkan oleh Jurgen Schult pada tahun 1986 – sekitar 16 tahun sebelum Alekna lahir atas muka bumi.

Featured Image: World Athletics

Komen