Jualan Tiket Awam Man Utd vs ASEAN All-Stars Mula Dijual Hari Ini

April 15, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jualan tiket bagi menyaksikan perlawanan kelab di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (PL) iaitu Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kepada orang ramai mula dibuka pada hari ini bermula 11 pagi.

Penjualan tiket tersebut dibuka selepas prajualan kepada pengguna kad kredit dan kad debut Maybank Visa serta Akses Awal MU dijadualkan pada 8hb April dan 12hb April masing-masing.

Sepertimana dikongsikan sebelum ini, sebanyak tujuh kategori tiket ditawarkan oleh penganjur bagi menyaksikan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 28hb Mei, sepak mula jam 8.45 malam.

Ianya bermula dari harga serendah RM50 (CAT 7) diikuti dengan RM100 (CAT 6), RM250 (CAT 5), RM380 (CAT 4), RM580 (CAT 3), RM780 (CAT 2) dan RM1,500 (VIP) dan dijual secara atas talian di laman sesawang, www.myticketempire.com/manumy.

Menerusi satu kenyataan media yang diedarkan, penganjur menasihatkan para peminat untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara.

Ini merupakan kedatangan skuad berjulukan Red Devils yang kini dibimbing oleh Ruben Amorim yang pertama ke Kuala Lumpur selepas 16 tahun dan difahamkan akan mempertaruhkan skuad utama bagi perlawanan persahabatan, Maybank Challenge Cup, kali ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd