16 Atlet Disenaraikan Untuk Program RTG Termasuk Tang Jie, Ee Wei
April 15, 2025 Hafizuddin Omar

Jawatankuasa Road To Gold (RTG) tampil mengumumkan nama-nama atlet yang terpilih untuk menyertai Program RTG untuk tahun 2025 bagi kitaran baharu ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) pada hari ini.

Menerusi satu sidang media yang berlangsung di Menara KBS, sepertimana diumumkan oleh Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam, seramai 16 orang atlet telah dipilih yang terdiri daripada 13 pemain badminton, 2 pelumba basikal trek dan seorang atlet angkat berat.

Senarainya lengkapnya adalah seperti berikut:

  1. Lee Zii Jia (Badminton)
  2. Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (Badminton)
  3. Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan (Badminton)
  4. Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei (Badminton)
  5. Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin (Badminton)
  6. Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai (Badminton)
  7. Man Wei Chong dan Tee Kai Wun (Badminton)
  8. Mohd Shah Firdaus (Basikal)
  9. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Basikal)
  10. Mohd Aniq Kasdan (Angkat Berat)

Kesemua atlet ini dipilih berdasarkan kepada dua kriteria samada pemenang pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 atau berada dalam ranking 10 terbaik dunia pada saat ini.

Berikutan kriteria terbabit, Jawatankuasa RTG tetap menyenaraikan gandingan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei biarpun kedua-duanya telah berpisah dan membentuk gandingan baharu dengan pemain lain, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa RTG merangkap Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menegaskan Tang Jie dan Ee Wei tidak wajar bersikap sedemikian berikutan pelaburan yang telah dibuat oleh kerajaan dan perlu memberikan komitmen terhadap program ini. 

“Saya tak nak kes dimana, katakanlah, beregu badminton, tiba-tiba (pada) 2027 (bagitahu) saya tak nak berpasangan dengan pasangan saya lagi, saya nak tukar pasangan, tak boleh macam tu kerana negara telah melaburkan duit kepada mereka,” ujarnya.

Stuart memaklumkan akan bertemu dengan atlet-atlet ini untuk mendapatkan komitmen masing-masing bagi menyertai Program RTG ini selain mendapatkan maklum balas mengenai keperluan setiap atlet serta persatuan sukan dalam misi memburu pingat emas di LA28.

“Kita akan mulakan mesyuarat bersama jurulatih, persatuan sukan serta menyelaraskan program dan bantuan kepada setiap atlet dan setiap persatuan selepas daripada ini,” 

“Kita memerlukan masa dua minggu untuk penyelarasan ini dan juga penyampaian program dan bajet yang diperlukan daripada setiap persatuan dan juga atlet, itu akan dilaksanakan secepat mungkin,”

“Mesyuarat akan dipanggil pada hujung bulan Mei untuk penyelarasan atau penentuan keputusan (mengenai) permintaan daripada semua atlet dan persatuan sukan,” kongsi Stuart.

Sementara itu, Jawatankuasa RTG pada hari ini turut menyenaraikan lima atlet dalam Program Fast Track – sebuah program di bawah jawatankuasa yang sama buat atlet muda memburu pingat emas di LA28. 

  1. Ng Eain Yow
  2. S. Sivasangari
  3. Ariana Nur Diana
  4. Syaqiera Mashayikh
  5. Nurul Azreena Fazil

Bagi kelima-lima atlet ini, Jawatankuasa RTG memaklumkan mereka dipilih berdasarkan kepada tiga kriteria iaitu berusia 25 tahun dan ke bawah, berada dalam ranking 20 terbaik dunia dan memenangi pingat emas di Sukan Asia 2022 (acara individu).

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen