
Penghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris (PL), Arsenal menepati jangkaan untuk melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat julung kalinya selepas 16 tahun susulan menumpaskan Real Madrid – juara sebanyak 15 kali.
Dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Santiago Bernabéu awal pagi tadi (waktu Malaysia), skuad berjulukan The Gunners berhasil mencatatkan kemenangan 2-1 sekaligus melengkapkan agregat 5-1 selepas menang 3-0 di Stadium Emirates, pada minggu lalu.
Kemenangan oleh skuad kendalian Mikel Arteta itu hasil jaringan oleh Bukayo Saka (65’) dan Gabriel Martinelli (90+3’). Semntara itu jaringan tunggal oleh pasukan tuan rumah pula dihasilkan oleh Vinícius Júnior (67’).

Lebih manis, ini merupakan kemenangan mutlak pertama Arsenal – menang di tempat sendiri dan lawan – ke atas Real Madrid dalam saingan UCL.
Untuk makluman, kali terakhir Arsenal menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir UCL adalah pada musim 2008-09.
Bagaimanapun, kempen mereka ketika itu di bawah bimbingan Arsene Wenger berakhir setakat itu setelah tumpas 1-4 secara agregat di tangan Manchester United.
Bagi perlawanan seterusnya, Arsenal bakal berdepan cabaran daripada pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG). Skuad bimbingan Luis Enrique mengesahkan tempat ke peringkat yang sama selepas menyingkirkan Aston Villa 5-4 secara agregat.
Perlawanan pertama separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 30hb April kelak di Stadium Emirates diikuti dengan aksi timbal balik pada 8hb Mei di Parc des Princes.