Anita Azrina Wanita Pertama Dilantik Sebagai Pengerusi SIC
Hafiz Omar

Sepang International Circuit (SIC) – sebuah Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – mencipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya melantik wanita iaitu Datin Anita Azrina Abdul Aziz sebagai pengerusi.
Pelantikan Anita yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dikongsikan menerusi satu kenyataan media yang diedarkan kepada pihak media pada hari ini.
Anita mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sukan permotoran, strategi korporat dan libat urus pemegang taruh. Namanya cukup dikenali dalam mengetuai penajaan global PETRONAS dalam Formula 1 bersama Mercedes-AMG PETRONAS.

Selain itu, Anita pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Petrosains, Dewan Filharmonik PETRONAS, Malaysian Philharmonic Orchestra dan menyertai lembaga PETRONAS Lubricants International, Yayasan PETRONAS dan iCEP.
Anita dipilih bagi menggantikan Tan Sri Azman Yahya yang melepaskan jawatan secara rasmi selepas selepas 15 tahun berkhidmat bersama SIC – menyertai Lembaga SIC pada 2010 dan dilantik sebagai pengerusi pada tahun 2016.
Banyak sumbangan yang ditabur oleh Azman sepanjang memegang jawatang pengerusi seperti mengetuai rundingan kontrak MotoGP antara kerajaan Malaysia dan DORNA Sports, mengembangkan projek infra seperti Driving Experience Center dan Night Lights yang menguntungkan SIC, menumbuhkan PETRONAs Sepang Racing Team, merintis pembangunan bakat sukan permotoran Malaysia dan mengekalkan hasil pendapatan semasa pandemik Covid-19.
Featured Image: Sepang International Circuit