Jenama Tempatan Dipilih Sebagai Penaja Jersi Rasmi ACC Sehingga 2029

April 17, 2025
Basikal

Hafiz Omar

Jenama pakaian sukan berbasikal tempatan, iSports dipilih untuk menjadi penaja rasmi Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bermula tahun 2025 hingga 2029.

Pemilihan itu hadir selepas iSports dan ACC menandatangani kontrak perjanjian penajaan selama empat tahun dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada hari ini.

Kontrak itu menyaksikan iSports memberikan penajaan bernilai AS$70,000 kepada ACC yang merangkumi tajaan dalam bentuk Jersi Juara Asia serta pakaian untuk pelbagai kegunaan aktiviti Kejuaraan ACC di seluruh asia.

Majlis yang sama turut mendedahkan rekaan Jersi Juara Asia yang baharu rekaan iSports.

Sesi tandatangan itu disempurnakan oleh Presiden ACC merangkap Presiden Persatuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Dato’ Amarjit Singh Gill bersama Pengarah Genuine Marketing Enterprise yang mewakili iSports, Goh Seng Toon dan Setiausaha Agung ACC, Kozim Urinboykhujaev.

“Sebagai Presiden PKBM, saya melihat kerjasama ini mampu memartabatkan lagi nama Malaysia yang semakin kukuh dalam kancah sukan berbasikal di Asia.”

“Ini kerana Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai tuan rumah untuk acara sukan antarabangsa tetapi juga sebagai hab strategik untuk pembangunan berbasikal Asia,”

“Maka kerjasama ini bukan sahaja menandakan kepentingan ikatan serantau malah turut mengukuhkan lagi nama Malaysia dalam arena berbasikal,” katanya yang juga Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Berbasikal Dunia (UCI).

iSports bukanlah jenama asing dalam arena sukan berbasikal dengan membekalkan jersi kepada pasukan ternama seperti Terengganu Cycling Team (TSG) dan Pasukan Kebangsaan Malaysia. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd