Pemilik JDT Bidas Pemain Yang Dipinjamkan Keluar?

April 17, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail dilihat membidas pemain, tanpa menyebut sebarang nama, yang dipinjamkan keluar ke kelab lain.

Bidasan pedas oleh Tunku Ismail itu dimuat naik menerusi satu Instagram Story pada hari ini dan ianya ditujukan tepat kepada pemain yang dipinjamkan namun mengalami detik sukar dalam hidup seperti mempunyai masalah kewangan selain jarang mendapat minit permainan.

Menurut Tunku Ismail, situasi itu menimpa pemain-pemain tersebut kerana termakan nasihat daripada penyokong – tidak terlibat secara langsung dalam industri bola sepak.

“Dah bertahun cakap. Apa sahaja saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan. Dulu masa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus, dan main kejohanan antarabangsa, cari penyakit dengar cakap penyokong.” 

“Yang menasihat tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara macam seolah olah lebih tahu pasal bola sepak dan berpengalaman dalam arena bola sepak. Kononnya dinasihat untuk keluar dari JDT untuk dapat lebih minit permainan.” 

Last-last (akhirnya), gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada, dan main pertandingan antarabangsa pun tiada. At least (sekurang-kurangnya) di JDT walaupun minit kurang boleh bersara sebagai juara, pengalaman luas, dan kewangan pun stabil.”

“Yang dinasihat keluar negara pula hanya setakat dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan performance (prestasi) pun tak seberapa, rosak. Apabila bersara terpaksa kais sini sana. Seorang demi seorang jadi mangsa dengar cakap orang.” 

“Kalau nak loan (dipinjamkan) pun biar club (kelab) bantu jadi gaji tak jadi isu, bukan buat sendiri semata mata dengar cakap orang. Sekarang bila dah susah mana muka-muka yang menasihat semua?” katanya.

Sepanjang musim 2024-2025, terdapat sebilangan pemain JDT yang keluar menyertai kelab-kelab lain samada dalam saingan tempatan mahupun ke luar negara.

Antaranya Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Haziq Nadzli (Perak FC), Declan Lambert, Ryan Lambert (KL City FC), Daniel Amier, Ramadhan Saifullah (Kuching City FC), Fergus Tierney (Chonburi FC, Nakhon Pathom United), Endrick dos Santos (Ho Chi Minh City) dan beberapa nama lain lagi.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd