KL City FC Anjur Pertandingan Reka Logo Baharu Kelab – Hadiah RM3,000
Hafiz Omar

Kelab yang berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menawarkan hadiah sebanyak RM3,000 kepada pemenang pertandingan reka logo baharu kelab.
Pihak kelab tampil mengumumkan penganjuran pertandingan tersebut menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya pada Khamis.
Bagi yang berminat untuk menyertainya, hasil reka bentuk logo baharu itu boleh dihantar menerusi emel kepada [email protected] bermula 20hb April (Ahad) sehingga jam 5 petang pada 25hb April (Jumaat).
Terdapat beberapa syarat ditetapkan oleh pihak kelab bagi rekaan baharu logo tersebut seperti konsep atau nilainya mestilah mewakili Kuala Lumpur, memiliki frasa “Kuala Lumpur City Football Club”, menyertakan keterangan mengenai rekaan dan warna yang dipilih serta tidak mengandungi elemen politik, perkauman, agama dan budaya yang sensitif.
Pada masa yang sama, rekaan logo itu mestilah boleh skala (scalibility) dan boleh ubah (flexibility) dalam pelbagai jenis saiz, nampak menarik dalam versi berwarna penuh mahupun monokrom selain sesuai digunakan untuk promosi dan barangan cenderamata.
Untuk makluman, pertandingan ini hanya dibuka kepada rakyat Malaysia sahaja, berusia 18 tahun dan ke atas. Setiap peserta hanya boleh menghantar maksimum tiga rekaan sahaja.
Pada saat ini, KL City FC menggunakan logo berbentuk perisai berwarna merah sambil tersemat kepala harimau yang diambil daripada jata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Di bahagian bawahnya, terdapat bola yang berwarna kuning, biru dan merah yang sinonim dengan warna ibu kota.
Logo ini digunakan sejak sekitar Mac 2021 selepas kelab itu menukar namanya daripada Kuala Lumpur United FC (KL United) kepada KL City FC.