
Kelab bola sepak berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC kini sedang meneliti dengan lebih terperinci mengenai hasratnya untuk menghantar pasukan pelapisnya beraksi dalam kancah Liga Singapura.
Perkara tersebut diteliti dengan lebih lanjut apabila badan penganjur, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan memansuhkan saingan Piala MFL – liga simpanan bagi skuad bawah 23 tahun (B-23) – pada musim hadapan.
Keputusan itu membuatkan Selangor FC yang telah menandatangani dan membentuk skuad B-23 bagi musim hadapan meneroka opsyen beraksi dalam kancah bola sepak di negara seberang tambak itu.
Selain meneroka opsyen berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr. Johan Kamal Hamidon turut memaklumkan pasukan pelapisnya itu akan menyertai Liga A1 Semi-Pro anjuran Amateur Football League (AFL) dan sedang menantikan kelulusan daripada badan penganjurnya.
Menariknya, kelab berjulukan Gergasi Merah bersedia untuk menyediakan dua pasukan pelapis bagi beraksi di kedua-dua pertandingan, Liga A1 dan Liga Singapura masing-masing.

“Kita memang akan menyertai Liga A1 tapi kami masih menunggu Liga A1. Macam saya kongsikan sebelum ini memang kita pertimbangkan (beraksi di) Liga Singapura,”
“Pada masa ini, kita (pertimbangkan) samada sertai Liga A1 sahaja atau pun sertai kedua-duanya, Liga A1 dan Liga Singapura,” katanya ketika ditemui selepas aksi terakhir Liga Super 2024-2025.
Bercakap dengan lebih lanjut mengenai penyertaan dalam kancah bola sepak Liga Singapura, Dr. Johan berkata pihaknya telah menyatakan niatnya itu kepada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Beberapa model yang membolehkan Selangor FC beraksi di sana turut ditelitinya dan antara yang dijadikan contoh adalah kelab satelit Jepun yang telah lama beraksi di Singapura iaitu Albirex Niigata Singapore FC.
“Kita dah maklum kepada FAM niat kami, dia ada beberapa cara untuk sertai Liga Singapura, salah satu caranya adalah pasukan membuka syarikat di Singapura.”
“Kita mungkin akan teroka opsyen itu, itulah opsyen yang sudah dibuat oleh kelab macam Albirex Niigata, kelab Jepun, diorang buka syarikat dan beroperasi dari Singapura.”
“Ada beberapa model-lah untuk bermain di liga luar negara,” kongsinya lagi.
Untuk makluman, pasukan pelapis Selangor FC berhasil muncul naib juara Piala MFL 2024-2025 – hanya berbeza satu mata sahaja dengan Johor Darul Ta’zim II yang merangkul gelaran juara.
