Pengerusi Lion City Sailors FC Bakal Bergelar Presiden FA Singapura
Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bakal diterajui Pengerusi Lions City Sailors FC merangkap individu ketiga terkaya di Singapura, Forrest Li selepas namanya dan lapan lagi individu lain muncul selaku kem tunggal untuk merebut teraju badan induk bola sepak negara seberang tambak itu bagi penggal 2025-2029.
Antara yang turut sama dalam kemnya adalah Pengerusi BG Tampines Rovers FC, Desmond Ong (Timbalan Presiden); Pengerusi Hougang United, Bill Ng (Naib Presiden), kapten skuad kebangsaan Singapura, Hariss Harun (Naib Presiden), Pengurus Besar Lion City Sailors FC, Tan Li Yu dan Ketua Staf (Bola Sepak) Burnley FC, Sean Bai.

Baca: Selangor FC Teroka Opsyen Buka Syarikat & Beroperasi Di Singapura – Contohi Albirex Niigata
Sementara itu, tiga lagi nama lain terdiri daripada Bruce Liang, Arivan Shanmugaratnam dan Roy Quek menjadi tiga calon daripada kem diketuai Forrest yang mengisi jawatan Ahli Majlis.
Nama-nama tersebut dikongsikan oleh FAS sebagai calon-calon akhir yang layak bertanding untuk merebut pelbagai posisi yang dipertandingkan bagi penggal 2025-2029.
Kem lawannya, diketuai oleh bekas naib pengerusi Balestier Khalsa, Darwin Jalil dan pasukannya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pemilihan yang akan berlangsung pada 28hb April kelak.
Menurut laporan pelbagai media di negara republik berkenaan, kem diketuai Darwin hilang kelayakan disebabkan salah seorang calon dalam kemnya tidak memenuhi kriteria kelayakan.
Featured Image: Lion City Sailors FC