Hanya 4 Kelab Lulus Lesen AFC Untuk Beraksi Di ACLE & ACL2 – Kedah, Terengganu Gagal
Hafiz Omar

Hanya empat kelab bola sepak tanah air sahaja yang berjaya mendapatkan Lesen Pelesenan Kelab AFC kitaran 2024-2025 bagi membolehkan mereka beraksi dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Empat kelab berkenaan adalah juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT); naib juara Liga Super, Selangor FC serta Sabah FC dan Penang FC, demikian perkongsian oleh Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.
Perkara tersebut dikongsikan Sheikh Mohd Nasir selepas FIB mengadakan Mesyuarat FIB Ke-10 di Wisma FAM pada hari ini menerusi satu kenyataan media yang disiarkan oleh Malaysian Football League (MFL), sebentar tadi.
Dimaklumkan, sebanyak enam kelab daripada saingan Liga Super telah memohon Pelesenan Kelab AFC bagi kitaran 2024-2025. Bagaimanapun, permohonan dua kelab lagi iaitu Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC tidak berjaya.
“Pihak FIB mengucapkan tahniah kepada semua kelab yang telah berjaya memperoleh Lesen Pelesenan Kelab AFC kitaran 2024-2025 dan mengucapkan penghargaan atas komitmen daripada kelab Terengganu FC dan kedah Darul Aman FC atas kesungguhan untuk melengkapkan Lesen AFC.”
“Pihak FIB berharap akan ada penambahan kelab-kelab yang lain dalam kitaran seterusnya bagi permohonan Lesen AFC untuk terus mengekalkan taraf kompetitif Liga Super Malaysia.” ujar Sheikh Mohd Nasir.
Untuk makluman semua, tarikh akhir bagi melengkapkan permohonan Pelesenan AFC adalah pada 31 Mac lalu.
Selepas pengumuman keputusan mengenai permohonan Pelesenan AFC, kini tumpuan peminat dan penyokong bola sepak tanah air akan terarah kepada keputusan permohonan Lesen Kebangsaan – lesen yang membolehkan sesebuah kelab beraksi di Liga Super 2025-2026.
Tarikh akhir bagi melengkapkan dokumen untuk permohonan Lesen Kebangsaan adalah 30hb April 2025.