Arab Saudi Terbuka Anjur Piala Dunia Membabitkan 64 Pasukan
Hafiz Omar

Tuan rumah bagi Piala Dunia FIFA 2034 iaitu Arab Saudi bukan sahaja terbuka bahkan bersedia untuk menganjurkan pertandingan paling berprestij bagi sukan bola sepak itu dengan pembabitan sebanyak 64 buah pasukan.
Pada awalnya, cadangan penganjuran 64 buah pasukan pada pusingan akhir Piala Dunia itu diusulkan oleh wakili Uruguay dalam mesyuarat FIFA yang berlangsung pada Mac lalu.
Kemudiannya, Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) menerusi presiden, Alejandro Dominguez mencadangkannya secara rasmi bagi diimplemenkan ketika saingan Piala Dunia FIFA 2030.
Kesediaan Arab Saudi untuk menganjurkan Piala Dunia dengan penyertaan 64 pasukan itu dikongsikan sendiri oleh Menteri Sukan, Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal.
“Kami bersedia atau akan bersedia, Insya-Allah,”
“Jika itu merupakan visi FIFA, dan mereka berpandangan ianya sesuai bagi semua orang, kami berbesar hati untuk menganjurkan edisi yang diperluaskan (kepada 64 pasukan),” katanya seperti dipetik daripada Saudi Gazette.
Bagaimanapun, bukan semua bersetuju dengan idea penganjuran Piala Dunia membabitkan 64 pasukan.
Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ibrahim Khalifa sendiri antara yang menolak idea itu selain Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin melabelkannya sebagai idea yang buruk.
Manakala Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF), Victor Montagliani pula turut tidak bersetuju dengan idea perluasan berkenaan.
Pada Disember lalu, FIFA menerusi presidennya, Gianni Infantino telah mengumumkan secara rasmi Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 – selepas muncul selaku satu-satunya negara yang membida penganjuran bagi edisi ke-25 tersebut.