TFC Tak Teruskan Permohonan Lesen AFC Kerana Slot Dibolot JDT, SFC
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC (TFC) tampil memberikan penjelasan mengenai kegagalan mereka mendapatkan Pelesenan AFC sepertimana diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) pada Selasa.
Pelesenan AFC merupakan tiket untuk membolehkan mana-mana kelab beraksi di kejohanan anjuran AFC seperti Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) dan Liga Juara-Juara ACL 2 (ACL2) sekiranya layak.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di pelbagai platform media sosialnya, TFC menjelaskan pihaknya membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan setelah slot untuk kedua-dua kejohanan itu telah diketahui awal.
Slot itu telah dibolot oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) setelah mengesahkan gelaran juara dan naib juara Liga Super pada 24hb Februari dan 8hb Mac masing-masing.
“TFC pada ketika itu, berada di kedudukan ke-4 di belakang JDT, Selangor FC dan Sabah FC. Namun JDT dan Selangor FC telah mengesahkan lebih awal juara dan naib juara Liga Super apabila dihitung kedudukan semasa dan slot tersebut sudah pasti milik mereka.” tulis kenyataan rasmi oleh TFC.
Walau gagal mendapatkan Pelesenan AFC, TFC memberi jaminan akan mendapatkan Lesen Kebangsaan dimana tarikh tutup untuk melengkapkan segala dokumen yang diperlukan adalah pada 30hb April 2025.
Sementara itu, bagi saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee pula, Pelesenan AFC tidak diperlukan sekiranya dipilih untuk beraksi di kejohanan berkenaan.
Sebagai rekod, TFC bimbingan Badrul Afzan menamatkan kempen Liga Super 2024-2025 di tangga kelima – di bawah JDT, SFC, Sabah FC dan Kuching City FC.