Tan Cheng Hoe Kembali Ke Kelana Jaya, Pengarah Teknikal Skuad Harimau Malaya
Hafiz Omar

Individu yang membimbing skuad bola sepak senior kebangsaan dari penghujung tahun 2017 hingga awal tahun 2022, Tan Cheng Hoe kembali semula ke Wisma FAM, Kelana Jaya dengan peranan baharu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Joehari Ayub memaklumkan Cheng Hoe yang juga pernah berkelana ke Thailand untuk mengendalikan Police Tero FC itu menyertai semula skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya sebagai pengarah teknikal.
“Sah, sah, dia jadi Pengarah Teknikal untuk Harimau Malaya,” jawabnya ketika wawancara bersama pihak media semasa Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 di Wisma FAM, pada hari ini.
Kelibat jurulatih berusia 56 tahun kelahiran negeri Kedah itu turut kelihatan di majlis anjuran FAM bersama-sama Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL).

“Dia adalah orang bilang salah satu ‘coach’ (jurulatih) terbaik yang kita ada di Malaysia, dia itu (Cheng Hoe) daripada segi merit itu memang adalah dan memenuhi kriteria (kalangan) jurulatih tempatan kita (duduk) bersama dengan jurulatih asing,” jelas Joehari.
Pada masa yang sama, pengumuman ini juga menandakan kembalinya Cheng Hoe dalam arena bola sepak selepas kontraknya bersama Police Tero FC tidak disambung selepas ianya berakhir sekitar Jun 2024.
Cheng Hoe menyertai kelab berpangkalan di Bangkok sekitar penghujung Februari selepas menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan Selangor FC – kira-kira dua bulan dan setengah sebelum bermula Liga Malaysia 2024-2025.
Pada musim 2023, Cheng Hoe membimbing Selangor FC muncul naib juara Liga Super yang memberikan mereka slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selain membawa mereka muncul naib juara Piala Malaysia 2022.
Featured Image: Football Association of Malaysia