ABK 24-25: Arif Aiman Tempa Sejarah, Coach Aidil Cipta Kejutan

April 23, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi menempa sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama membolot anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ke-4 berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Arif, 23 tahun, terus menjadikan Liga Malaysia musim ini sebagai pentas untuk memperagakan kehebatannya dengan mencetak 12 gol dan mencipta 13 bantuan gol bagi skuad berjulukan Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA serta melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 26hb April nanti.

Keupayaannya tidak boleh disangkal lagi apabila diberikan kepercayaan oleh Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio untuk berada dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan bagi menggerakkan jentera serangan Harimau Selatan.

“Alhamdulillah untuk rezeki memenangi MVP buat kali ke-4, saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini.”

“Sebenarnya ia bukan tahun yang mudah untuk saya, permulaan yang agak perlahan disebabkan kecederaan, tetapi saya tidak mengalah untuk terus bekerja keras.”

“Setiap tahun saya mahu berikan yang terbaik dan Insya-Allah dengan kejayaan ini sekurang-kurangnya dapat beri semangat kepada saya untuk beri penutup indah musim ini dalam saingan final Piala Malaysia pula,” katanya.

Menerusi empat gelaran MVP secara berturut-turut, Arif kini berada dalam kelasnya yang tersendiri dan mengatasi pencapaian bekas penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul gelaran hatrik MVP bagi musim 2010 hingga 2012.

Bukan itu sahaja, malam ini bertambah indah buat Arif apabila turut mendominasi tiga lagi kategori lain iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2024-2025 dan juga Fans XI (Penyerang).

Musim ini merupakan musim pertama Arif memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali dari tahun 2021 sehingga 2023.

Sementara itu, rakan sepasukan Arif iaitu Bergson da Silva turut mencuri tumpuan apabila meraih Kasut Emas Liga Super selepas mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 32 gol secara keseluruhan musim ini dalam saingan liga.

Itu merupakan jumlah jaringan terbanyak buat bekas pemain Fortaleza terbabit sepanjang beraksi dalam kancah Liga Malaysia bersama JDT. Kali terakhir Bergson mengungguli carta penjaring terbanyak adalah pada musim 2022 dengan mencetak 29 gol dalam saingan liga.

Bukan itu sahaja, sejak menyertai JDT pada tahun 2021, Bergson menjadi simbol ketajaman serangan Harimau Selatan menerusi jumlah gol dan sumbangannya di atas padang sekaligus melayakkan dia untuk meraih hatrik bagi anugerah Pemain Import Terbaik.

“Saya tidak sangka boleh menang trofi malam ini, terutamanya Kasut Emas.”

“Setiap perlawanan saya tidak pernah ambil mudah dan atas bantuan rakan sepasukan juga, saya berjaya untuk menjaringkan gol sehingga 32 jaringan.”

“Kejayaan ini secara tidak langsung beri semangat kepada saya juga untuk terus beri yang terbaik di pentas final, Sabtu ini,” jelasnya.

Bagi kategori Jurulatih Terbaik pula, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mencipta kejutan untuk meraih trofi tersebut buat julung kalinya menewaskan dua calon lain iaitu Hector Bidoglio (JDT) dan Katsuhito Kinoshi (Selangor FC).

Pernah tercalon pada musim 2019 sehingga 2021, jurulatih kelahiran Singapura itu akhirnya membuktikan kredibilitinya untuk meraih anugerah Jurulatih Terbaik selepas membawa Kuching City dengan cemerlang mengatasi jangkaan ramai dengan menduduki tangga keempat Liga Super pada musim keduanya bersama kelab berkenaan.

Ia pencapaian terbaik Kuching City sejak ditubuhkan sebagai kelab amatur yang bersaing dalam Liga Bola Sepak Rakyat pada tahun 2015 sehingga kini berdiri gah bersama-sama kelab elit dalam saingan Liga Super.

“Sebelum ini saya pernah tercalon ketika mengemudi Kedah, dan rezeki masih belum berpihak kepada saya.”

“Tetapi kali ini Alhamdulillah saya berpeluang juga untuk merangkul gelaran Jurulatih Terbaik dan ini semua hasil kerjasama satu pasukan untuk Kuching City menamatkan kedudukan lebih baik di Liga Super,” katanya.

Secara keseluruhan, ABK 2024-2025 menyaksikan kelab JDT berjaya menguasai 8 kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.

Selain tiga anugerah yang telah dimenangi oleh Arif serta dua anugerah yang diraih oleh Bergson, Ahmad Syihan Hazmi turut menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali ketiga berturut-turut sementara Feroz Baharudin merangkul trofi Pertahanan Terbaik buat kali pertama.

JDT selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut tidak ketinggalan untuk dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik pada musim ini menjadikan 8 anugerah utama berjaya dirangkul buat skuad kendalian Bidoglio ini.

Kategori lain menyaksikan penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy Tamin (JDT II) pula merangkul dua trofi iaitu Kasut Emas Piala MFL selain berjaya mendominasi kategori Pemain Piala MFL Terbaik menewaskan adik-beradik dari Selangor FC iaitu Haykal Danish Haizon dan Harry Danish Haizon.

Tonggak Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue pula dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik buat julung kalinya apabila diberi kepercayaan mengemudi bahagian serangan pada musim ini dengan berjaya meraih 17 gol dalam kancah Liga Super sekaligus turut sama membawa pulang trofi Kasut Emas Liga Super (Tempatan).

Rakan sepasukannya, Haqimi Azim Rosli tidak ketinggalan untuk turut sama meraih kemenangan apabila mengungguli kategori Pemain Muda Terbaik mengatasi dua calon lain iaitu Haykal Danish Haizon (Selangor FC) dan Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC).

Boys of Straits (BOS) Johor Darul Ta’zim pula membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi mereka selaku pemain ke-12 berbaloi buat mereka meraih trofi Anugerah Penyokong Terbaik manakala Terengganu FC berjaya mempertahankan Anugerah Fairplay untuk musim ini.

Featured Image: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd