Premier League: Seri Lawan Spurs, Liverpool Muncul Juara
Hafiz Omar

Liverpool bimbingan Arne Slot semakin hampir untuk bergelar juara bagi saingan Premier League (PL) 2024-25 dan ianya boleh dimuktamadkan ketika bertemu Tottenham Hotspur pada aksi ke-34, Ahad nanti.
Bukan itu sahaja, skuad berjulukan The Reds hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan kejuaraan ke-20 dalam sejarah bagi kancah tertinggi bola sepak Inggeris.
Ianya gara-gara pencabar terdekatnya, Arsenal diikat oleh pasukan di tangga ke-12 liga ketika turun beraksi di lamannya sendiri, Stadium Emirates bagi ke aksi-34 pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Arsenal bimbingan Arteta telah mendahului 2-1 sejak minit ke-42 hasil jaringan Leandro Trossard. Bagaimanapun, menghampiri penghujung permainan, kesilapan William Saliba dalam melakukan hantaran telah diambil peluang oleh Jean-Philippe Mateta untuk menjaringkan gol penyamaan.
Sebelum itu, Arsenal terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jaku Kiwior seawal minit ke-3 sebelum disamakan oleh Eberechi Eze pada minit ke-27.
Kedudukan 2-2 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Michael Salisbury meniup wisel menamatkan permainan.
Keputusan seri itu menyebabkan Arsenal kini terpisah 12 mata dengan Liverpool.
Sekiranya Liverpool menang pada Ahad nanti, mereka akan mengumpul 80 mata daripada 34 perlawanan dan ianya sudah tidak dapat dikejar lagi Arsenal biarpun meraih kemenangan dalam baki tiga perlawanan dan Liverpool tewas ketiga-tiga baki perlawanan tersebut.
Featured Image: Arsenal