
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengisytiharkan 28hb April (Isnin) kelak sebagai Hari Cuti Peristiwa buat seluruh rakyat di Negeri Johor.
Pengisytiharan itu dikongsikannya menerusi kenyataan yang disiarkan di pelbagai platform media sosialnya pada Khamis – dua hari sebelum Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berentap menentang Sri Pahang FC pada 26hb April (Sabtu) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Isnin, 28 April 2025, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor sebagai tanda sokongan padu dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan JDT.”
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kini disegani di rantau Asia.”
JDT dalam misi memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima selepas menjuarainya pada edisi tahun 2017, 2019, 2022 dan 2023.
Onn Hafiz turut menyeru para penyokong skuad berjulukan Harimau Selatan untuk membanjiri SNBJ bagi memberikan sokongan penuh kepada JDT bimbingan Hector Bidoglio untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia kelima selain melengkap “quadruple” bagi musim ini.
Featured Image: Facebook Onn Hafiz Ghazi