Piala Malaysia: Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Mahu Perlawanan Yang Adil
Hafiz Omar

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bukan sahaja sedar bahkan berasa selesa dengan label yang diletakkan ke atas pasukannya selaku “underdog” atau bukan pilihan perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 pada Sabtu.
Pada masa yang sama, jurulatih berusia 62 tahun kelahiran Singapura itu tidak kisah akan keputusan akhir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelak.
Bagaimanapun, Fandi menuntut agar perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-98 itu berlangsung dan diadili dengan seadil-adilnya untuk kedua-dua belah pihak.
“Saya nak (perlawanan) adil, itu sahaja,”
“Menang (atau) kalah saya tiada masalah,”
“Keadilan itu tanda kemakmuran, bagi saya,” katanya ketika memberikan respon terhadap soalan daripada wartawan dalam sidang media praperlawanan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2024-2025 di SNBJ, pagi tadi.
Pada Disember tahun lalu, Fandi melahirkan rasa tidak puas hati serta kekecewaannya ke atas mutu pengadilan ketika bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dalam saingan Liga Super 2024-2025.
Beliau mempersoalkan bagaimana tiga orang pemainnya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli tetapi pemain JDT tidak dikenakan apa-apa hukuman samada sepakan percuma atau layangan kad biarpun mengasari pemainnya.
Perlawanan tersebut berakhir dengan Sri Pahang tewas dengan keputusan 1-3.
Featured Image: Malaysian Football League