Liverpool Menyamai Rekod Manchester United – Juara England 20 Kali

April 28, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Liverpool FC yang berpangkalan di Merseyside kini menyamai pencapaian Manchester United – menjuarai kancah tertinggi bola sepak England sebanyak 20 kali. 

Rekod tersebut menjelma selepas Liverpool bimbingan Arne Slot melakar kemenangan besar 5-1  ke atas Tottenham Hotspur pada aksi ke-34 Liga Perdana (PL) di lamannya sendiri, Anfield pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Jaringan-jaringan oleh Liverpool itu hadir menerusi Luis Diaz (16’), Mac Allister (24’), Cody Gakpo (34’), Mohamed Salah (63’) jaringan sendiri oleh Destiny Udogie (69’). 

Sementara itu, Spurs mendapat jaringan tunggalnya menerusi Dominic Solanke (12’).

Hasil daripada kemenangan ini, Liverpool mendahului carta PL dengan 82 mata dan ianya sudah tidak dapat dipintas lagi oleh pencabar terdekatnya, Arsenal biarpun tewas kesemua keempat-empat baki perlawanan musim ini.

Untuk makluman, ini merupakan kali kedua Liverpool menjuarai kancah tertinggi bola sepak England sejak ianya dijenamakan sebagai PL selepas musim 2019-20.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd