
Hari ini, 30hb April, merupakan tarikh akhir bagi kesemua kelab-kelab Liga Super menghantar segala dokumen berkaitan untuk permohonan Lesen Kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super 2025-2026.
Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan media yang disiarkan oleh Malaysian Football League (MFL), pagi ini, tarikh tersebut dilanjutkan selama 10 hari.
Dimaklumkan lanjutan itu dibuat susulan MFL menerima beberapa permohonan daripada kelab untuk melanjutkan tarikh akhir tersebut bagi memuat naik dokumen-dokumen yang diperlukan.
“Jawatankuasa First Instance Body (FIB) bersetuju untuk memberikan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan semua dokumen untuk Pelesenan Kelab Kitaran 2024 – 2025 bagi Lesen Kebangsaan di dalam sistem pelesenan AFC CLAS.”
“Pihak FIB bersetuju untuk menetapkan 10 Mei 2025 sebagai tarikh akhir bagi kesemua kelab Liga Super melengkapkan dokumentasi pelesenan yang masih belum lengkap.” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.
Dengan lanjutan masa yang diberikan, Sheikh Mohd Nasir mengharapkan kelab-kelab dapat melengkapkan dokumentasi yang diperlukan pada tarikh yang ditetapkan.