
Status Sri Pahang FC samada beraksi atau tidak dalam saingan Liga Super musim depan terus menjadi teka-teki namun salah seorang tonggaknya, Sergio Aguero nampaknya sah meninggalkan pasukan berjulukan Tok Gajah berkenaan.
Menerusi satu perkongsian di akaun Instagram peribadinya, Aguero, 31 tahun, kelahiran Argentina mengarang ucapan panjang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Sri Pahang.
“Hari ini, sukar untuk saya ungkapkan apa ertinya Pahang kepada saya. Lima tahun lalu, saya tiba di sini sebagai orang asing.”
“Saya tidak tahu apa yang menanti – apa yang saya ada hanyalah impian dan hati yang penuh dengan harapan.”
“Tetapi dari hari pertama, Pahang menerima saya dengan tangan yang terbuka. Kamu memberikan saya sebuah pasukan, sebuah rumah, sebuah keluarga dan paling besar, semangat kekitaan,” tulisnya.
Sebagai rekod, Aguero yang kini merupakan pemain berstatus tempatan setelah mendapat kerakyatan sekitar September 2022 mula menyertai Pahang pada musim 2021 di bawah kendalian ketua jurulatih, Thomas Dooley.
Sepanjang menyarung jersi kuning biru itu, berdasarkan statistik daripada Transfermarkt, Aguero telah merekodkan 46 penampilan serta menjaringkan 10 gol dan mencipta sembilan bantuan gol.
Sebelum bersama Sri Pahang, Aguero pernah menyarung jersi Melaka United FC, Selangor United FC, Penang FC dan Kuala Lumpur Rovers FC.
Dalam bingkisan yang panjang itu, Aguero turut menyematkan ucapan terima kasih kepada pemilik Sri Pahang FC serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), YAM Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah.
Featured Image: Facebook Sri Pahang FC