Muhaizar Mohamad, Yeow Ni Jia, Ahmad Sayuti & Naqib Haikal Sertai Barisan Atlet Puma
Hafiz Omar

Jenama sukan global, PUMA tampil mengumumkan sebuah kempen, “Go Wild”, yang menandakan evolusi dalam identiti jenamanya serta mempamerkan pelari-pelari yang mengatur kehidupan untuk mengejar kemuncak dalam dunia larian.
Kempen ini meraikan setiap individu dan menginspirasikan semua – samada amatur mahupun atlet profesional – untuk menunjukkan diri sebenar mereka dan menemui sifat semula jadi masing–masing.
Di Malaysia, PUMA membawakan kempen ini dengan melantik dan membawa masuk empat orang pelari maraton yang cukup dikenali di tanah air iaitu pemenang pingat Sukan SEA 2017 dan 2019, Muhaizar Mohamad serta Yeow Ni Jia, Ahmad Sayuti dan Naqib Haikal ke dalam barisan atlet PUMA.
“Menjadi sebahagian daripada keluarga PUMA sememangnya sangat mengujakan saya dan rakan-rakan atlet yang lain, dimana kami berganding bahu bekerja untuk menyampaikan mesej dan kehebatan sukan kepada rakyat Malaysia.”
“Sebagai bekas komando dan atlet kebangsaan, saya secara peribadinya memahami mesej PUMA tentang ketahanan dan keberanian mengatasi batas untuk terus mencabar kemampuan diri setiap hari, menyerlahkan potensi maksimum saya sendiri dan akhirnya ‘Go Wild’.”
“Saya tak mampu mengungkapkan betapa terujanya menjadi sebahagian daripada pengembaraan ini bersama PUMA dan rakan-rakan atlet lain, dimana kami menyebarkan kegembiraan dan keterujaan dalam berlari.” kata pelari yang juga bekas komando itu.
Kempen “Go Wild” di Malaysia ini akan diperkasakan dalam lanskap digital, media sosial dan pengaktifan di secara fizikal dengan melibatkan keempat-empat atlet tersebut.