TFC Sangkal Dakwaan Gaji Mamut Tertunggak 9 Bulan, Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang

May 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

“Pihak TFC tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada laman sosial mahupun pihak yang mengeluarkan serta menyebarkan.” itu amaran oleh Terengganu Football Club (TFC).

Kelab berpangkalan di pantai timur yang menamatkan saingan Liga Super 2024-2025 di tangga kelima memberikan amaran tersebut kepada mana-mana pihak mengeluarkan dan menyebarkan dakwaan bekas penyerangnya, Ivan Mamut tidak dibayar gaji selama sembilan bulan.

“Hangat diperkatakan berkenaan kegagalan pihak TFC gagal membayar gaji hampir sembilan bulan kepada Ivan Mamut.” 

“Pihak TFC ingin menyangkal dakwaan tersebut. Sumber yang diperolehi bukan dari kenyataan pihak kelab.” 

“Bagaimana isu ini boleh dihangatkan sedangkan ianya bukan satu berita yang tepat.” soal TFC dalam kenyataan yang disiarkan menerusi pelbagai platform media sosialnya pada hari ini.

Namun begitu, isu mengenai tunggakan gaji itu didedahkan sendiri oleh Mamut yang meledak 23 gol – tertinggi buat TFC pada musim 2023 – menerusi satu laporan oleh The Star.

“Saya tidak dibayar gaji lebih daripada sembilan bulan. Saya lihat rakan sepasukan dibayar sedangkan saya diketepikan,”

“Saya tidak pernah bersikap tidak profesional dimana saya mempunyai dokumen, kontrak. Ini tidak adil.” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar berbahasa Inggeris berkenaan.

Selepas mengharungi musim 2023 yang cemerlang bersama TFC walaupun bermula dengan perlahan pada awalnya, Mamut yang berasal dari Croatia diberikan kontrak lanjutan untuk terus membarisi bahagian serangan TFC bagi musim berikutnya.

Akan tetapi, penyerang berketinggian 1.92 meter (m) itu ditimpa kecederaan serius, melibatkan achilles tendon pada kaki kirinya, semasa pramusim, menyebabkannya tidak dapat bermain sepanjang musim 2024-2025.

Menerusi kenyataan TFC itu juga, dimaklumkan, terdapat beberapa siri perbincangan melibatkan rawatan dan pemulihan kecederaannya disertakan dengan terma dan syarat dimana butiran perinciannya tidak didedahkan kepada umum.

“Pihak TFC sentiasa menjaga kebajikan dan sentiasa memberi peluang kepada semua pemain untuk berbincang mendapatkan jalan yang terbaik demi kesejahteraan dan kebaikan pasukan.”

“Jika ada sebarang perkara yang tidak dijelaskan sama ada gaji dan hal-hal lain, saluran yang betul boleh digunakan sebagaimana termaktub di dalam perjanjian kontrak yang telah dipersetujui serta menunjukan sikap profesional.” tambah kenyataan oleh TFC.

Featured Image: Terengganu Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd