Sekatan Perpindahan FIFA Terhadap TFC, Berkaitan Tuntutan Bekas Pegawai Dari Luar Negara

May 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tular mengenai sekatan perpindahan pemain yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Terengganu Football Club (TFC) bermula 14hb April lalu.

Kelab yang berpangkalan di pantai timur itu tampil menyiarkan satu kenyataan media kepada pihak umum yang dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Menurut TFC isu ini tidak perlu dimainkan kerana perkara ini telah diselesaikan sepenuhnya pada April lalu.

Dimaklumkan ianya melibatkan pertikaian dengan bekas pegawainya, tidak didedahkan nama, dari luar negara berkaitan pembayaran elaun yang berjumlah lima angka. 

“Pengesahan penyelesaian penuh telah diperakui FIFA pada 21hb April dan memberi masa selama lima hari kepada penuntut untuk mengesahkan bayaran.”

“Sepatutnya hal ini tidak timbul oleh kerana tempoh tersebut telah berlalu.” tulis kenyataan kelab yang menamatkan saingan Liga Super 2024-2025 di tangga kelima tersebut.

TFC juga menegaskan mengambil tindakan dengan segera biarpun jendela perpindahan atau tempoh pendaftaran pemain bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 masih belum dibuka dan ianya dijangka bermula pada Julai 2025.

“Segelintir peminat di laman sosial menularkan isu ini yang seolah-olah berniat memburukkan reputasi kelab TFC dan yang mengakibatkan tanggapan kurang tepat serta negatif kepada kelab TFC.” demikian kenyataan oleh pihak TFC.  

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd