Inter Milan Lakar Kemenangan Dramatik Ke Perlawanan Akhir UCL

May 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang beraksi dalam kancah Serie A, Inter Milan berjaya melakar kemaraan ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat kali ketujuh dalam sejarah mereka selepas berhasil mengatasi FC Barcelona dengan penuh dramatik pada perlawanan separuh akhir kedua, awal pagi tadi.

Terdahulu, Inter dan Barcelona menamatkan perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung pada Khamis lalu di Stadium Olimpik Lluis Companys dengan keputusan 3-3.

Aksi timbal balik yang berlangsung di San Siro pula bermula dengan Inter bimbingan Simone Inzaghi mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Lautaro Martinez (21’) dan Hakan Calhanoglu (45’).

Bermulanya separuh masa kedua, giliran anak-anak buah Hansi Flick pula mengejar dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan oleh Eric Garcia (54’) dan Dani Olmo (60’) menjadikan kedudukan terikat 5-5 secara agregat.

Barcelona yang bercita-cita untuk mara ke perlawanan akhir UCL buat kali kesepuluh terus mengasak gawang Inter yang dikawal oleh Yann Sommer bagi mendapatkan jaringan ketiga.

Kekentalan pertahanan Inter dan kekebalan Sommer akhirnya bocor apabila rembatan oleh Raphinha (87’) masuk ke dalam gawang jua untuk mendahului dengan kedudukan 6-5 secara agregat.

Bagaimanapun, Inter tidak mengalah dan dalam masa kecederaan, pertahanan veteran, Francesco Acerbi (90+3’) berjaya menyudahkan hantaran oleh Denzel Dumfries di dalam kotak penalti untuk menyamakan semula kedudukan menjadi 6-6 secara agregat dan mengheret Barcelona ke masa tambahan.

Inter tidak menunggu lama untuk mencetak gol kemenangan apabila Davide Fratessi (99’) menendang masuk bola ke dalam gawang melepasi Wojciech Szczesny dan mendahului dengan kedudukan 7-6 secara agregat.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Poland, Szymon Marciniak meniup wisel menamatkan permainan sekaligus mengesahkan kemaraan Inter ke perlawanan akhir UCL musim ini yang dijadualkan berlangsung pada 1hb Jun (waktu Malaysia) bertempat di Allianz Arena, Munich.

Skuad berjulukan Nerazzurri yang pernah menjulang trofi UCL sebanyak tiga kali akan menantikan cabaran samada daripada Paris Saint-Germain (PSG) atau Arsenal yang diketahui pada awal pagi Khamis (8hb Mei).

Featured Image:Β UEFA

Β© 2025 Amanz Media Sdn Bhd