beIN Sports Anjur Tayangan Skrin Besar El Clasico Di IOI City Mall Pada 11 Mei
Hafiz Omar

Para peminat bola sepak yang menantikan pertembungan melibatkan FC Barcelona dan Real Madrid, yang turut dijuluki sebagai El Clasico, pada Ahad ini, sepak mula jam 10.15 malam, boleh bertandang ke IOI City Mall, Putrajaya.
Ini susulan beIN Sports, LaLiga dan Unifi TV tampil menganjurkan acara tayangan skrin besar LED secara langsung buat para peminat menyaksikan kedua-dua pasukan yang akan turun dalam aksu ke-35 liga bagi musim 2024-2025.
Kedua-duanya sedang bersaing sengit untuk memburu gelaran juara LaLiga bagi musim ini. Setelah berlangsungnya 34 perlawanan, Barcelona bimbingan Hansi Flick sedang mengungguli carta LaLiga dengan kutipan 79 mata manakala Real Madrid kendalian Carlo Ancelotti pula mengekori rapat di tangga kedua dengan pungutan 75 mata.
Sekiranya Barcelona menang, mereka akan dapat menjarakkan diri dengan Real Madrid sebanyak tujuh mata manakala seri akan menjadikan mereka terpisah dengan empat mata.
Jika kemenangan berpihak kepada Real Madrid, kedua-dua kelab ini akan dipisahkan dengan satu mata sahaja dengan baki tiga perlawanan lagi bagi musim ini.
Menariknya, bekas pemain Real Madrid dan skuad kebangsaan Perancis, Claude Makelele akan turut hadir bagi menyerikan acara tayangan skrin besar berkenaan.
Penganjur memaklumkan acara pada hari tersebut akan bermula sejak 12 tengah hari dengan pelbagai aktiviti dan permainan bersama para penyokong, peminat dan pengunjung selain peluang memenangi hadiah.
Manakala bermula jam 8 sehingga 9.30 malam pula akan berlangsung sesi bertemu “meet & greet” bersama Makelele. Bagaimanapun, ianya untuk tetamu jemputan sahaja.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk acara ini, perlawanan El Clasico boleh ditonton menerusi Unifi TV dan aplikasi penstriman langsung, beIN Sports Connect selain saluran televisyen berbayar, Astro.