Pusingan Kelayakan Liga Puteri 2025 Bermula 17 Mei

May 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pusingan kelayakan bagi pertandingan melibatkan skuad bawah 16 tahun wanita, Liga Puteri 2025 dijadualkan berlangsung dari 17hb hingga 24hb Mei kelak bertempat di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Menerusi makluman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), seramai 16 pasukan akan berentap di peringkat tersebut bagi menentukan pasukan yang akan menyertai dua divisyen utama Liga Puteri musim ini iaitu Divisyen Elite dan Divisyen 1.

16 pasukan yang akan berentap di pusingan kelayakan itu terdiri daripada FEMI9 FC, Junior Bangi FC, Sime Darby FC, Real CJ FC, Anak Sejati FC, Selangor FC, Selangor Soccer School, Negeri Sembilan FC, Medanian Titanic FC, Starbrite FC, Havana FC, KL Rangers FC, SSMP, Wangsa Maju City FC, Future Football Academy dan Putrajaya Tigress.

Kesemua pasukan itu akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap pasukan bermain tiga perlawanan.

Empat juara kumpulan serta satu naib juara kumpulan terbaik daripada pusingan kelayakan akan meraih tiket ke Divisyen Elite bersama-sama juara dan naib juara Liga Puteri 2024, SSS Leopard FC dan Velocity Academy serta pasukan jemputan, SSMS Pheonix dari Sabah.

Sementara itu, tiga naib juara kumpulan, empat pasukan di tangga ketiga serta satu pasukan di tempat keempat terbaik akan menyertai saingan Divisyen 1.

FAM menjelaskan penganjuran pusingan kelayakan Liga Puteri 2025 ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang FAM dan Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dalam usaha memperkukuhkan ekosistem sukan ini dari akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan untuk pemain-pemain bola sepak wanita dalam negara.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd