Takumi Sasaki Azam Pamer Kemampuan Sebenar Musim Hadapan

May 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain tengah import Negeri Sembilan FC dari Jepun, Takumi Sasaki menyifatkan musim 2024-2025 merupakan satu permulaan yang cemerlang buat dirinya yang julung kalinya beraksi di Malaysia.

Selepas semusim di sini, pemain berusia 27 tahun ini mengakui sudah dapat menyesuaikan diri dengan cabaran bola sepak di Malaysia dan berazam untuk menonjolkan kemampuan sebenarnya pada musim akan datang.

Prestasi dan persembahannya sepanjang musim lalu telah menarik perhatian Negeri Sembilan untuk memberikan lanjutan kontrak kepadanya sehingga penghujung April 2026.

Satu perkara yang menarik mengenai bekas pemain Ehime FC, juara Liga J3, adalah semangat kentalnya untuk terus menyumbang kepada pasukan biarpun Negeri Sembilan mengharungi kempen Liga Super yang tidak begitu memberangsangkan sepanjang musim lalu. 

“Saya datang ke sini untuk cari pengalaman baru. Ini kali pertama saya bermain di luar negara, tapi ia memang tahun yang hebat apabila dapat kenal budaya dan orang Malaysia yang sangat baik.”

“Sekarang saya dah biasa dengan bola sepak Malaysia, saya rasa musim kedua ini saya boleh tunjukkan 100 peratus kemampuan saya.”

“Dalam bola sepak, saya sentiasa fikir untuk pasukan. Saya rasa saya dah tunjuk yang saya pemain yang tak mudah mengalah walaupun dalam musim yang susah, dan akan terus berjuang untuk pasukan sampai akhir,” katanya.

Pada masa sama, Sasaki turut berterima kasih kepada penyokong-penyokong yang tetap berdiri di belakang pasukan dan mengharapkan semangat yang sama dapat diberikan buat mereka pada musim hadapan. 

“Apatah lagi penyokong Negeri Sembilan memang hebat sebab apabila musim lepas kita bergelut, mereka tetap sokong sampai habis. Bukan sahaja Negeri Sembilan, tapi semangat penyokong JDT, Selangor, Terengganu dan lain-lain juga hebat.”

“Sekarang liga dah habis, saya balik ke Tokyo untuk bercuti dan saya ada jumpa juga pemain dari kelab Jepun, sembang pasal bola, tengok perlawanan dan belajar dari mereka,” tambahnya.

Featured Image: Negeri Sembilan FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd