Kes Simbah Asid Faisal Halim, PDRM Tidak Dapat Kesan Sebarang Petunjuk… – Peguam

May 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kes simbahan asid ke atas pemain bola sepak skuad kebangsaan, Faisal Halim pada Mei tahun lalu kini diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” atau “No Further Action” (NFA).

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh peguamnya dari Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co menerusi satu kenyataan yang dibuat pada hari ini mewakili anak guamnya setelah menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara.

Jelasnya, klasifikasi itu disampaikan kepada mereka berikutan siasatan oleh pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membuahkan sebarang hasil.

“Surat tersebut juga menyatakan bahawa pihak PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek, dan segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil.” ujar peguamnya.

Pada 5hb Mei tahun lalu, negara dikejutkan dengan Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey disimbah dengan asid oleh individu yang tidak dikenali di pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Susulan insiden itu, Mickey telah dikejarkan ke hospital dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa anggota badan sekaligus memaksanya berehat daripada karier bola sepak selama beberapa bulan.

“Ternyata bahawa anak guam kami berasa kecewa dengan hasil siasatan tersebut. Kami akan teruskan perbincangan dengan anak guam kami untuk menentukan langkah-langkah yang seterusnya.” tambahnya.

Menurut peguamnya juga, sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihaknya telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya termasuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat PDRM untuk membantu mereka melakukan siasatan menyeluruh.

Selain itu, pihak turut menghantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara agar kes ini dipantau dan diberi kepentingan yang sewajarnya.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd