Penswastaan Liga Malaysia Tidak Gagal – Setiausaha Agung AFC
Hafiz Omar

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John nampak tidak senada dengan suara yang menyatakan penswastaan Liga Malaysia adalah satu kegagalan susulan masalah kewangan yang menghimpit kelab-kelab.
Menurutnya, masalah itu bukanlah disebabkan oleh penswastaan liga, pengasingan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC), yang bermula sejak 2021 – disifatkan sebagai tepat pada masanya lebih-lebih lagi di era bola sepak moden ini.
Windsor melihat masalah itu berlaku berikutan sikap ambil mudah sesetengah kelab yang tidak proaktif dalam menguruskan pasukan dan berharap kelab-kelab bersikap lebih profesional.
“Saya tidak melihat penswastaan liga ini adalah satu kegagalan sebaliknya ini adalah satu proses untuk lebih bergerak ke hadapan.”
“Inilah masanya untuk kelab-kelab belajar untuk memenuhi kriteria dan ketetapan yang telah AFC tetapkan. Sampai bila nak berada di takuk lama, kelab-kelab perlu lebih proaktif dan belajar tentang selok belok pengurusan kelab yang profesional.”
“Jangan salahkan penswastaan itu sebab tanggungjawab yang sebenar adalah di bawah pengurusan kelab itu sendiri yang perlu lebih bijak untuk menguruskan daripada pelbagai aspek.”
“Peraturan dan ketetapan oleh AFC sebenarnya sama sahaja dengan liga-liga yang lain, jadi saya percaya kalau ada kelab di Liga Malaysia ini yang boleh memenuhi peraturan, kenapa ada pasukan yang tidak boleh,” jelasnya.
Terdahulu terdapat suara-suara yang menyelar bahawa dasar penswastaan Liga Malaysia menjadi punca kepada beberapa kelab dihimpit masalah kewangan sehingga ada yang merancang untuk menarik diri daripada bertanding pada musim hadapan.