Harimau Malaya Uji Negara Afrika Sebelum Bertemu Vietnam
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya akan berdepan Vietnam bagi perlawanan kedua peringkat Kumpulan F dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10hb Jun 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Sebelum bertemu pasukan yang menghuni ranking 109 dunia itu, Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski telah mengatur dua perlawanan bagi menguji dan mempersiapkan para pemain.
Menerusi kenyataan media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini, pasukan yang akan menguji Harimau Malaya itu nanti adalah sebuah pasukan dari benua afrika iaitu Cape Verde – penghuni ranking 72 dunia.
Salah satu perlawanannya akan berlangsung dengan status Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 29hb Mei (Khamis) bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Tiket bagi perlawanan ini akan dijual secara dalam talian menerusi laman sesawang tickethotline.com.my bermula jam 10 pagi pada 12hb Mei (Isnin) kelak dimana kategori harga Tiket Terbuka adalah RM40 manakala Tiket Kanak-Kanak (umur 6 hingga 12 tahun) pula RM5.
Sementara itu, satu lagi perlawanan, bertemu pasukan yang sama, namun dengan status yang berbeza iaitu Perlawanan Latihan – diadakan secara tertutup tanpa penonton di SNBJ pada 3hb Jun (Selasa).
Featured Image: Federação Cabo-verdiana de Futebol