Chelsea Ke Perlawanan Akhir Liga Konferens Bertemu Real Betis
Hafiz Omar

Peluang kelab yang menduduki tangga kelima Liga Perdana (PL), Chelsea untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini semakin cerah apabila mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Liga Konferens UEFA.
Ianya selepas Chelsea bimbingan Enzo Maresca berjaya mengatasi Djurgårdens IF Fotboll dari Sweden pada peringkat separuh akhir dengan kemenangan 5-1 secara agregat.
Pada awal pagi tadi (waktu Malaysia), Chelsea merakamkan kemenangan 1-0 pada aksi timbal balik di lamannya sendiri, Stamford Bridge hasil jaringan Kiernan Dewsbury-Hall (38’).
Terdahulu pada minggu lalu, Chelsea telah merekodkan kemenangan 4-1 ketika aksi pertama separuh akhir yang berlangsung di 3Arena, Stockholm. Empat gol oleh Chelsea itu dihasilkan oleh Jadon Sancho (12’), Noni Madueke (43’) dan jaringan berganda daripada Nicolas Jackson (59’, 65’).
Sejak diperkenalkan pada musim 2021-2022, Chelsea menjadi kelab kedua yang mara ke pentas akhir Liga Konferens selepas West Ham United mara dan muncul juara pada edisi 2022-2023.
Pada perlawanan akhir kelak, Chelsea akan bertembung dengan kelab dari Sepanyol iaitu Real Betis untuk merebut gelaran juara Liga Konferens bagi musim 2024-2025.
Real Betis bimbingan Manuel Pellegrini mara selepas menyingkirkan AFC Fiorentina dari Itali menerusi agregat 4-3.
Sepak mula bagi perlawanan akhir itu bermula jam 3 pagi (waktu Malaysia), 29hb Mei, bertempat di Stadium Wrocław, Poland.
Featured Image: UEFA