Sertai Saingan AFL? Kelab Luar Negara Perlu Berpangkalan Di Malaysia

May 9, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Amateur Football League (AFL) berasa teruja dan sama sekali tidak menyangka apabila kelab amatur dari luar negara berminat untuk menyertai saingan bola sepak anjurannya.

Menurut Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, kelab yang berminat itu datangnya Republik Korea – negara yang melahirkan bintang bola sepak antarabangsa seperti Park Ji-Sung, Song Heung-Min, Kim Min-Jae, Lee Kang-In dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, Yusoff menegaskan kelab bola sepak luar negara yang berminat mengambil bahagian dalam saingan bola sepak di anjuran AFL perlu beroperasi dan berpangkalan di negara ini persis dilakukan oleh Singapura terhadap Albirex Niigata – sebuah kelab satelit dari Jepun.

“Saya tak nafikan bahawa kita ada menerima permohonan daripada pasukan amatur dari luar negara. Salah satunya daripada Korea Selatan. Kita sedang meneliti dan menilai perkara ini dan jika mereka disahkan bermain dengan liga kita, mereka perlu berpangkalan di Malaysia.” katanya.

Pada masa yang sama, Yusoff memaklumkan AFL kini dalam proses mengesahkan penyertaan kelab-kelab khususnya dalam saingan Liga A1 Semi-Pro yang dijadualkan membuka tirainya bermula pertengahan Julai kelak.

Buat masa ini, AFL memberikan keutamaan kepada kelab-kelab Liga A1 sedia ada serta yang layak daripada saingan Liga A2 musim lepas.

Namun begitu, daripada senarai itu, beberapa kelab dilihat ‘tidak sihat’ berikutan dikaitkan dengan isu tunggakan gaji.

Oleh demikian, AFL turut menggunakan pendekatan untuk mengambil kira permohonan kelab-kelab baharu yang dilihat mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil khususnya kelab-kelab yang telah berada di dalam piramid Liga Malaysia pada musim yang seperti dalam kancah Piala MFL, Liga A2 dan Liga A3.

Selain itu, AFL mengesahkan terdapat juga permohonan baharu daripada kelab luar daripada linkungan terbabit yang dilihat mampu memenuhi kriteria ditetapkan – turut dipertimbangkan.

“AFL berhasrat membentuk Liga Divisyen 2 yang berkualiti dalam mengisi kekosongan setelah Liga Premier dan Piala MFL tidak lagi dianjurkan.”

“Buat masa ini kita mahu mengenal pasti terlebih dahulu pasukan-pasukan yang mampu memenuhi kriteria serta keperluan untuk berada di dalam kelompok tersebut.” 

“Sasaran AFL adalah untuk mendapatkan 14 paukan terbaik yang dilihat berpotensi dan bersedia untuk dinaikkan ke Liga Super musim 2026-2027,” katanya seperti dipetik daripada kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.

Sebelum ini, Yusoff pernah mengesahkan bahawa terdapat permohonan daripada pasukan pembangunan iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Selangor FC Bawah 23 Tahun (B-23) untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro.

Featured Image: Amateur Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd