ASN 2024: Aaron-Wooi Yik Olahragawan Kebangsaan Buat Kali Kedua, Bawa Pulang RM20,000

May 13, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kejayaan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mempertahankan pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 membolehkan mereka meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan 2024.

KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada wakil, Dato’ Kenny Goh dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2024 yang berlangsung di Subang Jaya, pada hari ini.

Mereka tidak dapat hadir bagi menerima anugerah tersebut berikutan berada di negara jiran tetangga untuk beraksi dalam saingan Terbuka Thailand 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 500. 

Selaku pemenang Olahragawan Kebangsaaan, gandingan pemain berusia 28 dan 27 tahun masing-masing itu meneri trofi serta wang tunai sebanyak RM20,000.

Nama Aaron-Wooi Yik yang turut memungut pingat gangsa dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2024 dan meraih kejuaraan Masters Korea 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 300 – dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan menewaskan empat calon lain.

Calon-calon terbabit ialah Wong Weng Soon (wushu), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Lee Zii Jia (badminton) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua dalam karier, Aaron-Wooi Yik meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan selepas memenanginya pada edisi 2022 selepas merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia BWF.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd