ASN 2024: Nor Farah Ain Muncul Atlet Boling Padang Pertama Bergelar Olahragawati Kebangsaan

May 13, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Nor Farah Ain Abdullah memahat sejarah tersendiri dalam arena sukan negara apabila muncul selaku atlet boling padang pertama yang merangkul gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Atlet berusia 25 tahun terbabit dinobatkan dengan gelaran tersebut dalam majlis Anugerah Sukan Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Subang Jaya, pada hari ini. 

Gelaran tersebut menyaksikan Farah menerima trofi yang disampaikan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim disamping menerima wang tunai sebanyak RM20,000.

Farah merangkul gelaran itu susulan kejayaannya meraih kejuaraan dalam acara individu wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.

Bukan itu sahaja, Farah turut membantu skuad negara meraih pingat gangsa dalam acara berpasangan bercampuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.

Nama Farah dipilih untuk menerima gelaran Olahragawati Kebangsaan mengetepikan Sin Li Jane (tenpin boling), Nurul Izzah Izzati (berbasikal trek), Nor Farah Mazlan (pencak silat) dan Tan Cheong Min (wushu).

Pada Mac lalu, Farah, buat julung kali dalam kariernya diangkat sebagai pemain boling padang wanita No.1 dunia dan kekal sehingga hari ini berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh World Bowls Series.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd