Sivasangari Lakar Kemaraan Sulung Ke Suku Akhir Kejohanan Dunia PSA

May 14, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Pemain skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam melakar satu pencapaian baharu dalam kariernya apabila buat julung kalinya berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam Kejohanan Dunia PSA.

Pemain berusia 26 tahun terbabit melangkah ke peringkat tersebut hasil menumpaskan bekas perseorangan wanita No.1 Amerika Syarikat dalam pertarungan pusingan ketiga, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan, Sivasangari beraksi cemerlang dan berhasil menumpaskan Sobhy secara “straight set”, menerusi skor 11-8, 14-12 dan 11-6 dalam masa 34 minit, bertempat di University Club of Chicago.

Sebelum ini, Sivasangari dan Sobhy telah bertembung sebanyak lima kali di pentas antarabangsa. Keputusan pada hari ini menjadikan Sivasangari kelahiran Sungai Petani kini melebarkan rekod pertemuan itu kepada empat kemenangan daripada enam pertemuan.

Pada peringkat seterusnya, Sivasangari akan bertembung dengan perseorangan No.1 tuan rumah, Olivia Weaver yang menduduki ranking keempat dunia. Pemain berusia 29 tahun ini mara selepas berhasil menundukkan Salma Hany dari Mesir menerusi empat set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-7, 9-11, 11-7 dan 11-4 dalam masa 47 minit.

Berdasarkan rekod, Sivasangari dan Weaver pernah bertemu sebanyak enam kali. Daripada jumlah itu, Sivasangari hanya berhasil mencetak satu kemenangan dan selebihnya berakhir dengan kekalahan.

Pertembungan Sivasangari dan Weaver untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir dijadualkan bermula jam 2.30 pagi, Jumaat (16hb Mei).

Featured Image: PSA World Championships

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd