Ng Eain Yow Kandas Pusingan Ketiga Kejohanan Dunia PSA
Hafiz Omar

Perjalanan perseorangan lelaki skuasy negara, Ng Eain Yow dalam Kejohanan Dunia PSA 2024-2025 yang berlangsung di Amerika Syarikat nampaknya menemui titik penghujungnya pada pusingan ketiga.
Eain Yow yang menduduki ranking kesepuluh dunia ini gagal melangkah ke peringkat seterusnya, suku akhir, berikutan tewas di tangan pemain No.1 dunia dari Mesir, Mostafa Asal.
Ketika turun berentap pada awal pagi tadi (waktu Malaysia), Eain Yow tewas secara tiga set permainan secara berturut-turut menerusi skor 4-11, 6-11 dan 7-11. Namun begitu, Eain Yow tidak memberikan laluan mudah dimana Mostafa terpaksa beraksi hampir satu jam lamanya sebelum dapat mengesahkan tempat ke suku akhir.
Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan kelima melibatkan Eain Yow dan Mostafa di pentas antarabangsa dan keputusan itu membuatkan Eain Yow mengalami empat kekalahan daripada lima pertembungan terbabit.
Terdahulu, Eain Yow melakar kemaraan ke pusingan ketiga setelah mengatasi Muhd Asim Khan (Pakistan) dan Patrick Rooney (England) dengan cemerlang pada pusingan kedua dan pertama masing-masing.
Sementara itu, Mostafa yang mara ke suku akhir akan menantikan cabaran daripada rakan senegaranya merangkap pilihan keenam kejohanan, Karim Abdel Gawad untuk merebut tiket separuh akhir.
Featured Image:Â PSA World Championships