Terbuka Thailand: Tiada Beregu Campuran Negara Mara Ke Pusingan 16

May 14, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Saingan Terbuka Thailand 2025 yang berlangsung sejak semalam nampaknya tidak akan menyaksikan sebarang wakil negara akan melangkah ke pusingan 16 serta peringkat-peringkat yang seterusnya.

Ini susulan ketiga-tiga wakil negara yang beraksi di salah satu Jelajah Dunia BWF Super 500 terbabit kandas seawal peringkat pusingan 32 masing-masing.

Sebentar tadi, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan baharu tuan rumah, Supak Jomkoh dan Ornnicha Jongsathapornparn.

Pang Ron-Su Yin tewas pertarungan tersebut menerusi tiga set permainan menerusi skor 21-15, 18-21 dan 17-21.

Sebelum itu, Yap Roy King dan Valeree Siow terlebih dahulu tewas di tangan pasangan No.120 dunia dari Republik Korea, Ki Dong Ju dan Jeong Na Eun secara “straight set” menerusi skor 18-21 dan 17-21.

Pada Selasa, sektor beregu telah menyaksikan gandingan yang bergerak secara bebas (independent), Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien menjadi beregu negara yang pertama kandas di pusingan 32 susulan tewas secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 20-22 di tangan Phuwanat Horbanluekit dan Sapsiree Taerattanachai.

Sebagai perbandingan, Terbuka Thailand pada tahun lalu menyaksikan beregu negara sekurang-kurangnya berhasil mara ke pusingan 16 menerusi gandingan Yap Roy King dan Valeree Siow serta pasangan Choong Hon Jian dan Go Pei Kee.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd