MSDeaf Bangga Dengan Pengiktirafan Di ASN 2024
Hafiz Omar

Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berbangga dengan kejayaan menerima Anugerah Khas 2024 semasa Majlis Anugerah Sukan Negara yang berlangsung di Subang Jaya pada Selasa.
Ianya sekaligus membuktikan persatuan sukan orang kurang upaya juga boleh berdaya saing sekiranya diuruskan dengan baik dan kejayaan ini merupakan satu langkah awal buat MSDeaf untuk menjadi penanda aras buat persatuan-persatuan sukan yang lain.
MSDeaf juga menganggap kejayaan ini mewakili komuniti orang pekak dan melihat kehadiran penasihat dari syarikat korporat sudah mula menunjukkan hasil positif dengan gerak kerja dan tatakelola yang diterapkan dalam persatuan.
Presiden MSDeaf, Encik Ong Shin Reunn bersyukur atas penghormatan yang diberikan dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilihat membantu meningkatkan tahap sukan ini.

“Saya bersyukur kerana akhirnya MSDeaf berhasil mendapat salah satu anugerah berprestij dalam Anugerah Sukan Negara 2024 ini sekaligus membuktikan kerajaan Malaysia mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilaksanakan kami bagi memartabatkan sukan dan atlet-atlet pekak negara.
“Kami juga berharap agar pembangunan sukan warga pekak negara dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan konsisten merangkumi pembangunan atlet dari peringkat akar umbi serta memperkasakan program atlet podium Pekak yang mampu memenangi pingat untuk negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai melihat anugerah yang diterima ini adalah faktor daripada sudut pemasaran yang diberikan pendekatan oleh persatuan bagi memastikan sukan ini lebih dikenali dan membuka peluang buat penaja untuk menjadi rakan kerjasama.
“Anugerah ini boleh dilihat sebagai kesan dari tindakan MSDeaf membawa tadbir urus korporat, pengurusan kewangan dan daya tahan kepada pihak persatuan untuk tidak mengharapkan dana kerajaan semata-mata seperti sebelum ini.
“Sudah sampai masa untuk kita naikkan taraf kehidupan para atlet pekak ini kerana kita tahu cabaran mereka lebih dari atlet-atlet normal,” jelasnya.
Anugerah ini dilihat sebagai pemangkin buat para atlet untuk mengharungi tiga kejohanan utama Sukan Pekak bermula dengan Sukan Pekak Asia Tenggara di Jakarta pada Ogos sebelum bersaing di Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuching pada Oktober dan menutup tahun 2025 dengan kejohanan Sukan Deaflympic Tokyo pada November.