Terbuka Thailand: Pearly-Thinaah Bertemu Gandingan No.138 Dunia Di Suku Akhir

May 15, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil melanjutkan kempennya dalam saingan Terbuka Thailand 2025 ke peringkat suku akhir.

Diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan, Pearly-Thinaah mara hasil menundukkan beregu Indonesia, Lanny Mayasari dan Siti Fadia Silva Ramadhanti yang berada di kedudukan ke-26 dunia.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak datang dengan mudah dan Pearly-Thinaah terpaksa berentap selama hampir sejam sebelum dapat mengakhirinya dengan skor 21-17, 10-21 dan 21-15.

Kemenangan itu membawa mereka bertemu beregu China yang baru sahaja bergandingan sejak Mac lalu, Chen Qing Chen dan Wang Ting Ge.

Terdahulu, mereka mara selepas mengatasi beregu tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 22-20 dalam masa 47 minit.

Sementara itu, sepasang lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Terbuka Thailand 2025 selepas terkandas di pusingan 16, sebentar tadi.

Biarpun diletakkan selaku pilihan kelapan kejohanan, Pei Kee-Mei Xing gagal menjinakkan lawannya, Meilysa Puspitasari dan Rachel Rose yang berada di ranking 51 dunia.

Dalam pertarungan tersebut, Pei Kee-Mei Xing tumpas secara “straight set” menerusi skor 18-21 dan 7-21 dalam masa 46 minit.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd