Coach Raja Isa Berpeluang Cipta Sejarah Jurulatih Malaysia Pertama Julang Piala FA Brunei

May 16, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Hanya selangkah sahaja lagi yang memisahkan jurulatih bola sepak berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah untuk mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama Malaysia memenangi piala di Brunei Darussalam. 

Ini susulan Coach Raja Isa, 59 tahun, berhasil membimbing pasukannya, Indera SC mara ke perlawanan akhir Piala FA Brunei 2024 selepas menumpaskan MS ABDB dengan keputusan 7-3 secara agregat.

Lebih manis, kemaraan ke perlawanan akhir itu hadir dalam tempoh yang singkat selepas beliau dipilih pengurusan Indera SC pada 9hb Mei untuk mengemudi kelab berkenaan. Pernah berkelana di Bangladesh, kini Coach Raja mahu memastikan Indera SC berjaya mengulangi pencapaian muncul juara Piala FA Brunei musim 2017-2018 dengan menumpaskan DPMM FC II dalam perlawanan akhir nanti.

“Saya menerima tawaran dari pemilik kelab, Pengiran Anak Taha pada 9 Mei 2025 sebagai persiapan untuk Piala FA Brunei musim ini. Bagi saya ini adalah satu bentuk kepercayaan yang besar buat saya dari pihak pengurusan untuk memastikan Indera SC mampu bersaing di final bertemu DPMM FC II.”

“Saya berharap para pemain mampu fokus setelah beberapa tahun tidak ke final dan berdisiplin dalam menerapkan taktikal dan strategi untuk menang sekaligus bergelar sebagai juara.”

“Sebagai jurulatih luar, semoga dengan izin Allah, urusan kami dipermudahkan untuk muncul juara dan saya mampu mengibarkan bendera Malaysia tinggi seperti waktu saya melatih di Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Meskipun baru memulakan tugasan di Brunei, namun Raja Isa melihat bola sepak di negara itu mempunyai potensi yang sangat besar dan dia berbangga kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar ekosistem sukan paling popular itu. 

“Pandangan peribadi saya adalah bola sepak di Brunei ini mempunyai potensi besar untuk berada di tahap terbaik dengan semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan penerapan filosofi dan DNA yang sesuai untuk bola sepak Brunei,” jelasnya.

Untuk makluman, perlawanan akhir Piala FA Brunei 2024-25 akan berlangsung pada 18hb Mei kelak bertempat di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah.

Sebagai tambahan, lawannya, DPMM FC II merangkap juara bertahan mara selepas menundukkan Kasuka FC dengan keputusan 2-0 secara agregat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd