Pearly-Thinaah Lakar Sejarah, Beregu Wanita Negara Pertama Juarai Terbuka Thailand

May 18, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan melakar satu sejarah baharu apabila muncul selakuberegu wanita negara yang pertama menjuarai saingan Terbuka Thailand sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1984.

Kejuaraan salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 500 itu menjadi milik pasangan pemain berusia 25 dan 27 tahun masing-masing terbabit selepas mereka berhasil mencetak kemenangan ke atas Jeong Na Eun dan Lee Yeon Woo dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking keempat dunia meraih kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-17 dalam masa 58 minit.

Ini sekaligus mengulangi catatan kemenangan yang dihasilkan Pearly-Thinaah ketika julung kalinya bertemu lawan yang sama di Masters Orleans 2025 pada Mac lalu.

Bertambah manis, ini merupakan kejuaraan sulung dinikmati oleh Pearly-Thinaah dalam kejohanan individu pada tahun ini setelah sekadar muncul naib juara di Masters Indonesia sekitar penghujung Januari lalu.

Hasil menjuarai pertandingan ini, Pearly-Thinaah meraih ganjaran wang tunai sebanyak AS$37,525 atau bersamaan sekitar RM161,770 serta memungut 9,200 mata untuk dimasukkan dalam pelbagai kiraan ranking oleh BWF.

Bagi kejohanan seterusnya, Pearly-Thinaah akan beraksi di Master Malaysia 2025 yang akan berlangsung dari 20hb hingga 25hb Mei di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Mereka diundi bertemu beregu Hong Kong, Fan Ka Ya dan Yau Mau Ying pada pusingan 32.

Featured Image: Badminton Association of Thailand 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd