Kemarau 16 Tahun Berakhir, Aaron-Wooi Yik Juarai Terbuka Thailand 2025

May 18, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia menjulang kejuaraan dalam saingan Terbuka Thailand adalah pada tahun 2009 menerusi gandingan Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah.

Namun begitu, kemarau tersebut menemui titik noktahnya apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya bangkit mencatatkan kemenangan dalam perlawanan akhir Terbuka Thailand 2025, pada hari ini.

Pada awalnya, Aaron-Wooi Yik dikejutkan oleh lawannya dari Denmark yang menduduki ranking ke-75, William Boe dan Christian Kjær menerusi skor 20-22.

Bagaimanapun, gandingan pemain berusia 28 dan 27 tahun masing-masing terbabit bangkit pada set kedua untuk melakar kemenangan menerusi skor 21-17 dan mengheret permainan ke set ketiga sebelum mencetak kemenangan dengan skor 21-12.

Pertarungan itu berlangsung sengit dan ianya memakan masa selama satu jam sebelum Aaron-Wooi Yik dimahkotakan kejuaraan tersebut – kedua bagi tahun 2025 selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada April baru-baru ini.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar Aaron-Wooi Yik ke atas Boe-Kjær selepas bertemu buat julung kalinya di Masters Indonesia 2025 pada Januari lalu.

Untuk makluman, hasil menjuarai kejohanan ini, Aaron-Wooi Yik meraih ganjaran wang tunai sebanyak AS$37,500 atau bersamaan sekitar RM161,770 dan memungut 9,200 mata.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd