Masters Malaysia: Jacky, Aidil & Jia Jie Tak Lepas Peringkat Kelayakan
Hafiz Omar

Tiga perseorangan lelaki negara yang memulakan bermula daripada peringkat kelayakan gagal melayakkan diri ke babak undian utama Masters Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur bermula hari ini.
Jacky Kok Jing Hong, 23 tahun, menjadi perseorangan pertama yang terkandas apabila tewas di tangan pemain China yang menduduki ranking 92 dunia, Hu Zhe An secara “straight set” menerusi skor 20-22 dan 11-21.
Kekalahan itu terakam dalam masa 49 minit ketika Jacky turun berentap pada pusingan 16 kelayakan. Zhe An yang mencatatkan kemenangan dapat meneruskan kemaraannya ke pusingan suku akhir kelayakan bertemu pemain Chinese Taipei, Huang Ping-Hsien.
Turut sama menanggung kekalahan di pusingan 16 kelayakan ialah Aidil Sholeh yang muncul juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Februari lalu.
Bertemu dengan Huang Yu Kai dari Chinese Taipei yang berada di ranking 64 dunia, Aidil tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-8, 17-21 dan 18-21 dalam masa 57 minit.
Manakala seorang lagi perseorangan lelaki negara, Tan Jia Jie, 22 tahun, turut sama mengalami kekalahan berikutan tewas di tangan pemain Vietnam, Le Duc Phat secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 8-21 dalam masa 38 minit.
Biarpun ketiga-tiga pemain ini tewas dan terkandas di peringkat kelayakan, kelibat perseorangan lelaki negara masih menghiasi saingan Malaysia Masters kali ini menerusi Leong Jun Hao, Ng Tze Yong dan Justin yang bermula secara terus daripada pusingan 32 dalam babak undian utama.
Featured Image: Thailand International Challenge