Masters Malaysia: Amanda-Lo Ee Mara, Su Hui-Zhing Yi Kandas
Hafiz Omar

Gandingan Amanda Yap dan Ho Lo Ee yang berusia berusia 20 dan 22 tahun masing–masing mencipta kejutan di peringkat kelayakan sekaligus menempah kemaraan ke babak undian utama di saingan Malaysia Masters 2025.
Penghuni ranking 328 dunia itu melakukan kejutan ke atas pasangan Thailand yang berada di ranking lebih tinggi daripadanya, tangga 178 dunia, Phattharin Aiamvareesrisakul dan Sarisa Janpeng.
Amanda-Lo Ee melakar kejutan itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 19-21, 21-14 dan 22-20 dalam pertarungan sengit dan panjang yang memakan masa satu jam dan 20 minit.
Kemenangan itu membolehkan mereka menjejakkan kaki ke babak undian utama dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 buat julung kalinya dalam karier sejak bergandingan bersama dari tahun 2022.
Menanti mereka di pusingan 32 itu nanti adalah beregu Chinese Taipei yang berada dalam kelompok 75 terbaik dunia, Chan Yan-Fei dan Sun Liang-Ching untuk merebut tiket ke pusingan 16.

Sementara itu, sepasang lagu beregu wanita negara yang bermula daripada peringkat kelayakan di Malaysia Masters 2025, Cheng Su Hui dan Tan Zhing Yi terpaksa akur beraksi dalam satu perlawanan sahaja.
Ini susulan gandingan yang berada di tangga 284 dunia ini tewas kepada beregu Chinese Taipei yang menduduki ranking 167 dunia, Sung Yi-Hsuan dan Yang Yi-Hsun. Bagaimanapun, mereka tidak tewas dengan mudah dan memberikan tentangan sengit selama lebih satu jam sebelum ianya berakhir dengan keputusan 22-20, 13-21 dan 15-21.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia